Bagaimana Untuk Elakkan Penyakit Tangan, Kaki & Mulut (HFMD)

Assalamualaikum semua dan salam sejahtera.

Akhir-akhir ini kita dikejutkan dengan berbagai penyakit yang dulunya kita jarang-jarang dengar dan ambil tahu. Kali ini saya ingin berkongsi sedikit pasal penyakit Tangan Kaki & Mulut atau juga dikenali sebagai “Hand, Foot & Mouth Disease” atau HFMD..

Terlebih dahulu ada baiknya kita berkenalan apakah itu HFMD.

Penyakit HFMD disebabkan oleh sejenis virus yang dikenali sebagai enterovirus meliputi Coxsackie Virus A16 (Cox A16) dan Enterovirus 71 (EV 71).

Bagaimanakah ia dijangkiti? Ia berjangkit melalui sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh (blister) dan najis kanak-kanak yang dijangkiti serta sentuhan pada permukaan dan alatan permainan yang tercemar dengan virus HFMD.

Sesiapa yang dijangkiti akan menunjukkan satu atau lebih tanda seperti demam, luka (ulcer) di mulut, ruam atau lepuh di tapak tangan dan kaki. HFMD selalunya menyebabkan jangkitan ringan dan boleh sembuh dengan sendiri. Namun begitu, segelintir jangkitan HFMD yang disebabkan oleh jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi seperti radang otak dan jantung.

HFMDhandfootmout

LANGKAH PENCEGAHAN

  1. Langkah pencegahan terbaik adalah menjaga kebersihan diri dan persekitaran. Penularan jangkitan HFMD sangat berkait rapat dengan amalan kebersihan diri dan persekitaran anda.
  2. Segera membawa kanak-kanak dengan gejala HFMD mendapatkan rawatan dan jangan sesekali membawa kanak-kanak tersebut ke tempat awam termasuk sekolah dan pusat jagaan kanak-kanak.
  3. Pengurus pusat jagaan kanak-kanak perlu bertanggungjawab untuk menjalankan aktiviti pembersihan premis dan saringan terhadap kanak-kanak di bawah jagaan mereka sepertimana yang disarankan dalam ‘Garis Panduan Pengendalian Kanak-Kanak di Taska dan Prasekolah’ serta ‘Pelan Tindakan Bersepadu Bagi Mencegah Dan Mengawal Penyakit Tangan, Kaki Dan Mulut’.

Untuk maklumat lanjut: http://www.moh.gov.my.