Kanser Payu Dara: Bukan Aku…

Patient-with-ulcerated-breast-cancer-in-the-external-quadran.jpg

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga tuan-tuan dan puan-puan sentiasa dirahmati Allah selalu.

Kanser yang biasa di Malaysia ialah:

  • Di kalangan lelaki- Kanser paru-paru tinggi di kalangan lelaki yang merokok diikuti kanser hidung (nasopharyngeal cancer) dan kanser usus/colorectal.
  • Di kalangan wanita- Kanser payudara adalah tinggi diikuti dengan kanser pangkal rahim.
  • Kanser usus – kadar insiden meningkat pada kedua-dua jantina.

💥Sebut saja kanser payudara pasti ia akan membuatkan semua orang menjadi ketakutan. Kenapa tidak, kanser payudara merupakan kanser utama di kalangan wanita di Malaysia, 1 dalam 19 wanita adalah berisiko. Berbanding 1 dalam 8 wanita di Eropah dan Amerika Syarikat. Kanser payudara bermula dari sel payudara. Adakah para lelaki terlepas dari penyakit ini? Jawapannya adalah TIDAK. Lelaki juga boleh menjadi mangsa kanser payudara tetapi sangat rendah bilangannya berbanding wanita iaitu hanya 1%.

👩‍⚕️Sebelum pada itu mari kita fahami apakah sebenarnya kanser payudara ini?

Payudara wanita adalah terdiri dari sel-sel kelenjar lobul yang menghasilkan susu (lobulas), saluran yang bawa susu ke bahagian puting, lemak dan tisu pengantara, saluran darah dan limfa. Kebanyakan kanser payudara bermula dari sel yang melapisi bahagian saluran (ductal cancer), sebahagian lain bermula pada kelenjar lobul (lobular cancer) dan selebihnya bermula dari tisu-tisu lain.

Apabila sel ini sampai ke bahagian tubuh badan yang lain, ketumbuhan baru boleh terjadi di organ tersebut. Keadaan barah merebak ini adalah dikenali sebagai barah sekunder atau metastasis. Perkataan barah juga boleh digunakan dalam keadaan pertambahan sel yang tidak normal tetapi tidak diikuti dengan ketumbuhan atau tumor. Ini adalah seperti yang berlaku dalam penyakit yang melibatkan sel penghasilan darah iaitu penyakit leukimia.

💥Faktor risiko untuk kanser payudara:

  • 👉Umur – meningkat mengikuti umur
  • 👉Sejarah keluarga – menghidap penyakit kanser payudara
  • 👉Haid – Wanita haid awal (<12 tahun) atau menopause lewat (>55 tahun)
  • 👉Wanita tidak mempunyai anak atau memperolehi anak pertama pada umur lebih 30 tahun
  • 👉Penyusuan susu dada – merendahkan risiko
  • 👉Obesiti atau lebih berat badan – tingkat risiko
  • 👉Penggunaan pil perancang >10 tahun tanpa henti
  • 👉Penggunaan alkohol
  • 👉Senaman – mengurangkan risiko
  • 👉Faktor genetik

Gejala-Gejala Kanser Payudara

  • Tanda paling biasa kanser payudara ialah ketulan atau bengkakkan.
  • Ketulan yang tidak sakit, keras dan tidak sekata berkemungkinan besar kanser. Ada juga ketulan kanser yang sakit, lembut dan berbentuk bulat. Oleh itu sangat penting berjumpa doktor segera apabila ada pembengkakan atau ketulan di payudara.

Tanda-tanda lain kanser payudara seperti berikut:

  1. Bengkak pada sebahagian payudara
  2. Kulit jadi berkedut seperti kulit limau
  3. Puting masuk ke dalam atau sakit
  4. Kemerahan atau berkeruping pada puting atau kulit payudara
  5. Lelehan dari puting (kekuningan atau berdarah) selain susu.
  6. Ketulan pada bahagian ketiak

Bagaimana kanser payudara dikesan?

  1. Pemeriksaan sendiri payudara (PSP)– wanita patut melakukan PSP secara berkala bermula dari umur 20 tahun. Belajarlah dari jururawat anda dan sekiranya ada ketulan dikesan, jumpa doktor segera.
  2. Mammogram- Mammogram ialah ujian x-ray payudara. Pemeriksaan ini dibuat kepada wanita yang tiada masalah tetapi berisiko. Pemeriksaan bagi wanita yang ada tanda atau masalah payudara juga akan dilakukan. Semasa ujian mammogram, payudara ditekan antara 2 keping plet dan boleh menyebabkan rasa tidak selesa. Kadar radiasi x-ray adalah rendah dan tidak meningkatkan risiko kanser payudara.
  3. Pengambilan tisu dari payudara (biopsi). Semasa ujian ini, sel dari kawasan yang disyaki diambil dan duji di makmal.

BSE

Rawatan

Wanita yang dikesan kanser payudara diberi rawatan selepas dibuat penilaian lengkap oleh doktor. Sebahagian pesakit akan dibedah sebelum diberi rawatan kemoterapi (adjuvant chemotherapy). Sekiranya pakar bedah memutuskan untuk mengecilkan saiz kanser sebelum pembedahan, rawatan kemoterapi atau radioterapi akan diberi terlebih dahulu.