VAKSIN: Fakta Dan Kemusykilan Bahagian 1

vaccines+death
Gambar Hiasan

Hujah agama, yang diguna pakai golongan profesional bukan daripada bidang perubatan dan penjual produk alternatif, mengenai keburukan vaksin adalah antara punca ramai ibu bapa menolak pengambilan vaksin untuk kesihatan anak mereka. Sebelum kita membuat sebarang keputusan, ada baiknya kita semua fahami apa sebenarnya VAKSIN.

  1. Apa itu vaksin?
    Vaksin mengandungi antigen, yang diperolehi dari sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan. Antigen dalam vaksin berfungsi untuk meransang sistem daya lawan jangkitan (sistem imuniti) tubuh membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus.
  2. Apakah kandungan vaksin? 
    Vaksin mengandungi bahan aktif dipanggil antigen. Antigen ini sama ada dalam bentuk virus hidup, virus yang telah dimatikan, protein virus yang telah disucikan, toksin bakteria yang telah dilemahkan atau sebahagian dari struktur bakteria. Vaksin juga mengandungi komponen tambahan seperti pengawet, penstabil, adjuvant dan beberapa komponen lain. Setiap bahan yang terkandung di dalam vaksin mempunyai fungsi tersendiri dan menyumbang kepada kualiti, keselamatan dan keberkesanan sesuatu vaksin. Vaksin tidak mengandungi bahan yang boleh membahayakan tubuh badan.
    Pengawet di dalam sesetengah vaksin berfungsi untuk menstabilkan vaksin serta mencegah pembiakan bakteria dan kulat dalam vaksin. Pengawet yang selalu digunakan ialah thiomersal atau thimerosal. Ia mengandungi sejenis raksa yang dinamakan ethyl merkuri. Ia tiada kaitan dengan sebarang kesan toksik methyl merkuri. Methyl merkuri adalah toksik kepada sistem saraf. Thiomersal yang telah digunakan dalam vaksin sejak 80 tahun lalu, wujud dalam kuantiti yang amat sedikit. Sehingga hari ini tiada sebarang bukti saintifik yang menunjukkan ia berbahaya.
    Setelah mengkaji bukti epidemiologi terkini berkaitan thiomersal dan profil farmakokinetiknya, Jawatankuasa Penasihat Sedunia bagi Keselamatan Vaksin di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah membuat kesimpulan bahawa tiada bukti kesan toksik merkuri ke atas bayi, kanak-kanak atau orang dewasa yang terdedah kepada thiomersal dalam vaksin. Tambahan pula, banyak kajian yang telah dijalankan mendapati bahawa tiada bukti menunjukkan kecacatan sistem saraf atau perkembangan seperti autisme disebabkan oleh penggunaan vaksin yang mengandungi thiomersal.
    Bahan penstabil berfungsi mencegah komponen vaksin dari melekat di dinding botol vaksin. Ia mengekalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin di dalam keadaan dan suhu yang pelbagai. Gelatin dan lactose-sorbitol adalah contoh bahan penstabil.
    Adjuvan ditambah ke dalam vaksin untuk meningkatkan tindakbalas sistem ketahanan tubuh terhadap vaksin. Adjuvan yang sering digunakan adalah garam aluminium (dikenali sebagai alum). Pengambilan aluminium dari vaksin adalah lebih rendah berbanding dengan pengambilan harian dari makanan atau ubat-ubatan seperti antasid. Penelitian semua kajian yang ada berkaitan vaksin difteria, tetanus dan pertussis yang mengandungi aluminium (sama ada secara berasingan atau kombinasi) menunjukkan bahawa tiada bukti garam aluminium di dalam vaksin menyebabkan sebarang kesan sampingan serius atau kesan sampingan jangkamasa panjang. Kemerahan dan bengkak pada tempat suntikan selalunya berkait dengan vaksin yang mengandungi aluminum berbanding vaksin yang tiada kandungan aluminium, namun kesan ini selalunya ringan.
  3. Benarkah sesetengah vaksin dibuat menggunakan sel janin?
    Sel janin digunakan untuk membuat lima jenis vaksin; iaitu rubella, cacar air, hepatitis A, kayap dan penyakit anjing gila (rabies). Ia digunakan untuk membiakkan virus-virus tersebut bagi penghasilan vaksin. Sel janin yang digunakan diperolehi dari dua pengguguran elektif yang dijalankan di Sweden dan England pada awal tahun 1960an.
    Pengguguran janin baru tidak perlu dijalankan lagi kerana sel janin yang diperoleh dalam tahun 1960an tersebut masih dikekalkan dalam kultur makmal. Ahli saintis memilih untuk menggunakan sel janin atas beberapa sebab, iaitu:

    1. Virus berbeza dari bakteria kerana ia memerlukan sel untuk membiak. Sel manusia adalah media yang lebih baik bagi menggalakkan pembiakan virus manusia, berbanding dengan sel haiwan.
    2. Sel janin kebal dan boleh membiak banyak kali sebelum mati, berbeza dari sel lain yang hanya membiak secara terhad sebelum mati.
  4. Mengapakah formaldehid terkandung di dalam vaksin?
    Formaldehid adalah bahan sampingan yang terhasil dari proses pembuatan vaksin. Formaldehid digunakan dalam proses penghasilan sesetengah vaksin untuk melemahkan virus (seperti virus polio dan hepatitis A) atau toksin bakteria (seperti toksin difteria dan tetanus). Hampir semua formaldehid dinyahkan semasa proses penghasilan vaksin dan yang tinggal hanya dalam kuantiti yang amat sedikit.
    Formaldehid juga boleh ditemui dalam saluran darah manusia kerana ia merupakan bahan sampingan sintesis protein dan DNA. Kuantiti formaldehid dalam darah adalah sepuluh kali lebih tinggi berbanding kandungannya dalam vaksin.
  5. Mengapakah antibiotik terkandung di dalam vaksin?
    Antibiotik digunakan semasa proses penghasilan beberapa jenis vaksin untuk mencegah pencemaran bakteria. Terdapat kebimbangan sekiranya antibiotik ini boleh mendatangkan bahaya seperti tindakbalas allergik apabila mengambil antibiotik untuk rawatan jangkitan. Walau bagaimanapun, jenis antibiotik yang digunakan dalam vaksin seperti neomycin, streptomycin, polymixin B, chlortetracycline dan amphothericin B bukanlah antibiotik yang lazimnya menyebabkan kesan allergik.

    1. Proses pembuatan vaksin
      Vaksin terhasil daripada pembiakan organisma hidup. Sesetengah organisma tersebut adalah penyebab penyakit berbahaya. Oleh itu, penghasilan vaksin dijalankan dalam keadaan yang dikawalselia dengan rapi. Semua pengeluar vaksin tertakluk kepada peraturan kebangsaan dan antarabangsa serta perlu mematuhi spesifikasi Amalan Pengilangan Baik (GMP). Perkara asas yang perlu dipatuhi termasuk:

      • memastikan produk adalah selamat untuk kegunaan masyarakat; dan
      • memastikan identiti, kekuatan, kualiti dan keaslian produk sentiasa mematuhi spesifikasi yang ditetapkan

      Penghasilan vaksin dijalankan di dalam persekitaran bebas kuman (aseptik) dan dipantau secara rapi melalui langkah-langkah kawalan kualiti. Proses penghasilan boleh berbeza mengikut jenis vaksin kerana beberapa komponen yang digunakan dalam proses penghasilan adalah khusus kepada jenis vaksin sama ada berunsurkan virus atau bakteria. Secara amnya, penghasilan vaksin melibatkan empat langkah asas:

      Rajah 1: Empat langkah dalam proses penghasilan vaksin

      1. Pembiakan
        Pembiakan organisma hidup yang digunakan dalam vaksin.
      2. Pengasingan
        Pengasingan organisma hidup daripada sel atau media pertumbuhan yang digunakan semasa langkah pembiakan.
      3. Penulenan
        Mengeluarkan semua bahan yang mungkin melekat pada organisma yang dikultur, atau memisahkan bahagian khusus daripada organisma untuk digunakan dalam vaksin.
      4. Formulasi
        Melibatkan pencampuran bahan yang telah ditulenkan ke dalam larutan sehingga ia mencapai kepekatan yang sesuai. Proses ini juga merangkumi penambahan komponen seperti pengawet, pelarut, adjuvant dan agen penstabil. Di peringkat akhir proses penghasilan, vaksin diisi ke dalam botol atau picagari dan dibungkus untuk dihantar ke fasiliti kesihatan.

      Contoh: Penghasilan vaksin berunsurkan virus
      Oleh kerana virus hanya membiak di dalam sel hidup, virus yang digunakan dalam vaksin dibiakkan di dalam sel (seperti telur ayam) atau sel Vero (seperti sel Vero). Setelah virus membiak, ia diasingkan daripada sel dan medium kultur sel. Beberapa teknik digunakan untuk proses pengasingan ini, seperti pemecahan sel menggunakan bahan kimia, sentrifugasi dan penapisan atau proses penyeragaman.
      Proses seterusnya adalah penulenan virus, yang juga melibatkan beberapa teknik sentrifugasi, penapisan ultra, kromatografi atau penulenan menggunakan bahan kimia. Pada peringkat ini, virus juga dilemahkan secara kimia untuk penghasilan vaksin menggunakan virus yang dilemahkan.
      Persediaan virus tadi kemudiannya dicampurkan dengan bahan lain untuk memastikan setiap dos vaksin mencapai kepekatan yang sesuai agar boleh diberikan secara selamat. Pada peringkat ini, vaksin boleh digabungkan dengan antigen lain (seperti vaksin measles-mumps-rubella). Produk yang telah dicampurkan diisi ke dalam botol atau picagari. Sesetengah vaksin dikering-bekukan pada peringkat ini bagi memanjangkan tempoh simpanan vaksin.
      Contoh: Proses penghasilan vaksin berunsurkan bakteria
      Bakteria tidak memerlukan sel hidup untuk membiak, maka ia dibiakkan dalam bioreaktor yang mengandungi media kultur khusus. Setelah dibiakkan, pengasingkan dilakukan secara sentrifugasi atau menggunakan teknik khusus bagi mengekstrak polisakarida. Proses penulenan adalah khusus kepada antigen yang digunakan, seperti pemendakan kimia atau pemeringkatan, penapisan ultra and langkah kromatografi. Pada peringkat ini, protein pembawa boleh digabungkan dengan vaksin polisakarida dan vaksin yang telah digabungkan kemudiannya ditulenkan melalui pelbagai teknik penapisan atau kromatografi. Produk yang telah ditulenkan kemudiannya digunakan sebagai vaksin. Pada peringkat ini juga produk boleh digabungkan dengan beberapa antigen lain. Sesetengah vaksin polisakarida mengandungi beberapa jenis polisakarida (seperti vaksin polisakarida pneumococcal mengandungi 23 polisakarida berbeza) manakala sesetengah vaksin berunsurkan bakteria digabungkan dengan bakteria lain dan/atau antigen virus (seperti vaksin difteria-tetanus-pertussis–Hepatitis B atau juga dikenali sebagai DTP-Hep B).

Bersambung………….

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s