Ingin Ke Tanah Suci

Bila sebut aje Tanah Suci Mekah, semua ingin memijakkan kaki ke sana. Tidak kira untuk menunaikan umrah apatah lagi untuk menunaikan ibadah haji.

Masing-masing membuat persediaan diri dari segala segi. Baik segi kewangan, pakaian dan kelengkapan, ilmu agama, keluarga di rumah dan sebagainya. Berapa ramaikah yang membuat persediaan dari segi kesihatan diri masing-masing sebelum berangkat ke Tanah Suci?

Persediaan Kesihatan Diri

 

Paling penting adalah pastikan anda mengetahui status kesihatan diri masing-masing.

Adakah anda pengidap penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetis, penyakit jantung atau sebagainya?

Sekira jawapannya adalah ya, anda perlu memastikan penyakit anda betul-betul stabil sebelum anda ke sana. Kerana di sana nanti kemungkinan anda menghadapi pelbagai kesukaran sekiranya keadaan penyakit anda tidak terkawal.

Penyakit Sering Dihadapi Di Tanah Suci

Majoriti jemaah Malaysia akan mengalami masalah batuk sekurang-kurangnya sekali semasa di Tanah Suci.

Berdasarkan pengalaman saya ketika bertugas di sana. Ini disebabkan oleh keadaan persekitaran di sana yang amat berbeza dengan di tanah air. Ia juga berkait dengan sistem imuniti badan kita yang lemah. Untuk mengurangkan risiko untuk batuk, setiap individu perlu meningkatkan sistem imuniti masing-masing selain mengamalkan beberapa tips penjagaan diri di sana.

Amalan yang saya amalkan semasa 2 kali bertugas di sana adalah dengan mengamalkan pemakanan supplement sebelum, semasa dan selepas ke Tanah Suci. Antaranya ialah mengamalkan pengambilan Vitamin C, Garlic dan Multivitamin. Sekurang-kurangnya 1 bulan sebelum berangkat ke sana.

Semasa di sana, pastikan sentiasa memakai penutup muka sebaik anda keluar dari penginapan masing-masing. Kecuali wanita yang sedang berihram. Sentiasa menggunakan alas atau sejadah kecil ketika solat untuk menghindarkan dari anda menyedut habuk lantai ke dalam paru-paru anda. Tak lupa juga sentiasa minum air zam-zam yang disediakan.

Sekiranya anda telah mengalami batuk atau demam selsema, anda perlu sentiasa memakai penutup muka walaupun berada di tempat penginapan. Jangan lupa untuk mendapatkan rawatan. Selain itu, sentiasa menutup mulut serta menghadap ke arah lain semasa batuk. Ini bertujuan untuk mengelakkan ia berjangkit kepada rakan sebilik atau mana-mana rakan anda. Kerana apabila anda sembuh, mungkin anda akan mendapat kembali penyakit tersebut dari rakan anda. Dan ia akan berterusan jangkit menjangkiti.

Insha Allah dengan sedikit perkongsian ini ia boleh memberi manfaat kepada anda.

Terima kasih kerana sudi membaca.